Pages

Saturday, February 26, 2011

Cukupkah Apa Yang Kita Ada?

Secara semulajadi hati manusia memang payah untuk berasa puas. Walaupun sudah memiliki sepuluh peti emas seseorang itu masih mahu lagi kesebelas. Apabila dia sudah mempunyai sebelas peti emas dia mahu lagi yang kedua belas dan begitulah seterusnya.
Okeykah sikap seperti ini?
Dari aspek motivasi tiada salahnya sebab ia sikap orang maju, sikap yang diperlukan untuk menjadi kaya sebab Islam tidak pernah menghalang umatnya menjadi kaya. Atas alasan dengan adanya harta yang banyak memudahkan seseorang itu menyalurkan sebahagian daripadanya ke jalan-jalan kebaikan.
Fitrahnya manusia memang sentiasa mahukan yang lebih baik dan lebih banyak daripada apa yang dia ada. Islam amat menggalakkan umatnya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menambah kekayaan. Dengan itu imannya sentiasa teguh terhadap TUHAH. Jadi, dalam mengharungi kehidupan tidak salah seseorang itu bermewah-mewah asalkan kemewahan tidak melalaikan dia daripada meniti di atas panduan-panduan agama.
Meskipun bersederhana itu lebih dituntut namun bermewah-mewah dalam ruang lingkup yang dibenarkan dikira munasabah dan sesuai dengan kehidupan moden sekarang. Memang, kadang-kadang penilaian dan penghormatan manusia terhadap kita bergantung kepada apa yang kita ada dan pangkat apa yang kita sandang. Kereta apa yang kita pandu, rumah jenis apa yang kita miliki, kawasan mana kita tinggal, hotel mana yang kita pilih apabila hendak bercuti, kad keahlian apa yang kita ada dan macam-macam lagi.
Kehidupan sekarang telah meletakkan apa yang kita miliki sebagai asas penghormatan manusia terhadap kita. Maka tidak salahlah memiliki segala-galanya asalkan kita masih kita, tidak berubah dan masih meletakkan TUHAN sebagai matlamat kehidupan. Sikap begini perlulah dizahirkan dalam bentuk mencari keredhaan ALLAH. Dalam ertikata lain, ia perlu diusahakan tanpa meninggalkan semua suruhan ALLAH, meninggalkan semua larangan ALLAH dan menyalurkan kurniaan ALLAH itu ke jalan ALLAH. Tetapi, jangan lupa, dalam nikmat pasti ada ujian di sebaliknya.
Begitu juga, di sebalik ujian ada hikmah yang tersembunyi. Dalam mengejar dan menghimpun harta jangan lupa ada ketika-ketikanya ia menjadi ujian yang sengaja ALLAH turunkan kepada seseorang individu. Firman ALLAH, ?Dan sesungguhnya akan KAMI berikan cubaan kepadanya, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang bersabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan; sesungguhnya KAMI adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah KAMI kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi pelbagai kebaikan daripada TUHAN serta rahmat-NYA, dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk hidayah-NYA.? (Al-Baqarah, 155-157)
Ujian paling berat bagi seorang yang kaya ialah jatuh miskin atau kehilangan salah satu daripada hartanya yang paling disayangi. Kala inilah kesabaran akan tercabar. Kalau tadi Islam membenarkan sikap tidak puas sebagai pendorong untuk manusia terus berusaha, sekarang Islam melarang sikap tidak puas hati kerana ditimpa ujian.
Sikap begitu seolah-olah mencabar TUHAN dengan kata-kata, ?Hai, TUHAN, setelah ENGKAU berikan aku kemewahan tiba-tiba ENGKAU ragut kembali. Untuk apa aku diberikan kemewahan dahulu kalau sekarang aku dimiskinkan semua. Ini merosakkan nama baik aku di tengah masyarakat. Macam mana aku hendak hidup sekarang? Hutang aku semakin banyak, penghinaan orang semakin bertambah-tambah?"
Sikap yang patut ditunjukkan ialah bersyukur kepada ALLAH kerana memberi peluang untuk memperbaiki diri. Setiap ujian tentunya bersebab. Sebab apa ALLAH berbuat begini? Sebab apa ALLAH berbuat begitu? Sebabnya sekian-sekian. Sebab apa ALLAH jadikan manusia? Supaya manusia beribadah kepada-NYA. Sebab apa ALLAH jadikan pokok, supaya manusia mendapat manfaat daripadanya. Dan begitulah seterusnya. Dalam berdepan dengan ujian baik kekurangan harta mahupun yang melibatkan nyawa, tiada perkataan lain yang boleh diucapkan melainkan ?sabar? dan ?redha?.
Hanya dua perkataan ini boleh menyelamatkan seseorang itu daripada dimurkai ALLAH. Dimurkai bererti berdosa dan dosa kalau tidak dibasuhi dengan taubat, jawapannya Neraka. ALLAH berfirman, ?Maka ingatlah AKU nescaya AKU akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmat-KU dan janaganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat-KU.? (Al-Baqarah, 152)
Di antara tanda bersyukur ialah sentiasa bersabar dan teguh iman menerima ujian ALLAH. Sikap yang bertentangan dengan ini ialah rasa rakus untuk memiliki kesemuanya hingga membabitkan hak orang lain. Orang begini akan semakin kufur apabila dilimpahi nikmat, apalagi tatkala ditimpa petaka. Dia akan mudah menyalah-nyalahkan takdir dan menyalah-nyalah TUHAN. Dan Islam juga menentang sikap tamak hingga melahirkan perasaan mencintai harta melebihi daripada kecintaan terhadap ALLAH dan Rasul-NYA. Ketika itu suruhan agama dibantah dan dianggap sebagai cara jahat untuk mengambil hartanya.
Ingat janji ALLAH, ?Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-KU), maka sesungguhnya azab-KU sangat pedih.? (Ibrahim, 7) Rasanya cerita Qarun adalah motivasi terbaik manusia untuk tidak terlalu mencintai harta kerana harta yang disalah tadbir akan mendatangkan kecelakaan.
Qarun asalnya orang yang beriman kepada ALLAH dan menjadi pengikut setia Nabi Musa a.s. sebelum kaya raya. Kekayaan yang dimiliki oleh Qarun itu menyebabkan dia sombong serta ingkar daripada mengeluarkan zakat. Kisah Qarun disebut dalam beberapa ayat dalam surah Al-Qashash. Sebahagian ayat 76 surah berkenaan bermaksud, ?Sesungguhnya Qarun itu termasuk kaum Musa, tetapi dia melakukan aniaya kepada mereka dan KAMI berikan kepadanya kekayaan, yang kuncinya berat dipikul oleh sekumpulan orang yang kuat?? Sebahagian ayat 78 surah yang sama pula bermaksud, ?Qarun menjawab; kekayaan yang diberikan kepadaku hanyalah kerana pengetahuanku.?
Tengok, bagaimana harta boleh menjadikan manusia berubah sama sekali. Kalau hal ini berlaku ke atas Qarun, bagi saya tidaklah pelik sangat, sebab dia memang kaya. Kunci gedungnya sahaja memerlukan satu kabilah untuk mengangkutnya dan diperbuat daripada emas. Jika dia berasa amat sombong agak berbaloi juga berdasarkan kekayaan yang sedemikian banyak. Berbanding dengan sesetengah kita, harta barulah sekangkang kera sudah merasakan tidak berpijak di bumi ALLAH.
Merasakan diri amat mulia dan orang lain hina dina. Lebih tidak munasabah, harta yang ?sekuntet? itu sudah menyebabkan lupa kepada ALLAH. Bukan sedikit orang yang sengaja melewat-lewatkan sembahyang fardu kerana sibuk mengilap kereta. Hanya kerana sebuah kereta yang belumlah boleh diistilahkan sebagai ?mewah?.
Begitu juga ramai sekali orang yang langsung tidak sembahyang kerana dikhayalkan oleh harta yang tak seberapa itu jika dibandingkan dengan apa yang pernah dimiliki oleh Qarun. Hingga kerana itu, kata orang, harta Qarun masih ditemui orang di merata-rata dunia. Maka, berbaloi jugalah keingkarannya terhadap ALLAH kerana dia memang kaya.
Apakah anda sudah cukup kaya untuk meminjam sikap Qarun?

No comments:

Post a Comment

KLICK UNTUK DUIT TABUNG