Pages

Saturday, February 26, 2011

Cerpen : Perginya Seorang Ayah

Ibu sibuk mengemas di dapur. Aku turut membantu ibu menyiapkan juadah makan malam. Seperti malam- malam yang telah lalu, kami makan bersama. Cuma abang, aku dan adik tinggal sebumbung bersama abah dan ibu. Dua orang kakakku sudah berumahtangga dan sudah mempunyai istana mereka sendiri. Selepas menikmati juadah masakan ibu yang tiada tolok bandingnya, kami bersama-sama berjemaah menunaikan solat Isyak
" Zai, dah siap kerja sekolah ke belum?" ibu menyergahku dengan sopan.
"Belum, bu", jawabku dengan terus terang. Tanpa melengah-lengahkan masa aku akur perintah ibu, masuk ke bilik yang telah dikhaskan untuk mengulangkaji pelajaran. Jam di dinding menunjukkan angka sembilan. Malam terus merangkak sepi tanpa jemu. Masih kedengaran riuh tawa adikku yang baru berusia dua tahun setengah yang tidak jemu-jemu bermain tak kira siang mahupun malam. Mungkin ibu sibuk melayan kerenah manja adikku dengan penuh kasih sayang. Abah pula asyik mengasah pisau torehan bagi menghadapi tugas hakiki pada esok harinya. Kasihan abah. Bila lagi abah nak berehat ?. Terbisik juga hatiku mengenangkan pengorbanan seorang ayah... ... apatah lagi pengorbanan seorang ibu. Pengorbanan kedua orang tuaku memang tak boleh ditebus dengan wang ringgit. Aku mengalihkan fikiranku untuk terus menatap bait-bait ilmu yang menggamit. Aku harus belajar lebih tekun lagi untuk memenuhi hasrat dan cita-citaku, menjadi insan yang berguna di masa depan. Masa berlari begitu pantas. Ruang tengah rumahku kembali tenang. Tiada kedengaran suara televisyen, cuma kedengaran suara merdu, syahdu abah melagukan ayat-ayat suci Al-Quran dengan begitu tertib sekali. Ibu begitu asyik, mendengarkannya. Daun pintu bilikku dikuak sedikit, ibu menjengukku.
"Zai, belum tidur lagi ke?" tanya ibu dengan nada perlahan. "Belum lagi, bu" balasku pantas sambil mataku menjeling jam di dinding. Hampir pukul 12.30 malam. Biasanya waktu sebegini, aku telah lena dibuai mimpi. "Dah, lewat ni... ... .. pergi masuk tidur. Esok nak bangun awal" tegur ibu ikhlas. Aku kagum dengan sikap prihatin dan kasih sayang ibu kepada kami semua. Sikapnya yang terlalu mengambil berat hal anak-anak membuatkan kami terlalu menyayangi dan taat perintahnya. "Baiklah, bu", aku tidak membantah dan bingkas bangun menuju ke kamar tidurku, bersebelahan kamar ibu. Abangku sudah lama melelapkan matanya, mungkin keletihan setelah seharian bekerja. Kehadiran subuh yang hening, menyenangkan hatiku. Aku bersyukur kepada Ilahi kerana masih memberi harapan dan peluang untukku menghirup udara segar, meneruskan perjuangan hidup selagi boleh diperjuangkan. Selepas menyempurnakan solat Subuh, aku dan ibu menyiapkan sarapan pagi untuk kami sekeluarga. Kami bersama-sama bersarapan. Begitulah keluargaku, setiap kali menghadap juadah pasti bersama. Selesai bersarapan, aku segera bersiap untuk ke sekolah. Bas sekolah akan tiba pada pukul 6.40 pagi. Abah menunggang motosikalnya membolosi kedinginan embun pagi menuju ladang yang tidak berapa jauh dari rumah kami. Sebelum pemergiannya abah sempat mencium kedua belah pipi adikku yang sedang nyenyak tidur. Tangannya erat menyalam ibu dan aku sambil berpesan kepadaku agar menjaga adik dan ibu jika abah tiada. Aku cuma mengangguk sahaja kerana lidahku kelu oleh perubahan sikap abah pagi itu.
Di sekolah, fikiranku diamuk resah. Puas sudah kucuba memusatkan fikiranku terhadap pelajaran yang diajar guru namun tidak berhasil. Setiap gerak perlakuan kurasakan begitu canggung sekali!!! Keresahan hatiku begitu memuncak, setelah aku didatangi oleh Cikgu Zubaidah yang diiringi oleh abangku. Abang memaklumkan berita kematian ayahku. Berita itu amat menjerut tangkai hatiku. Aku tidak dapat menahan perasaanku ketika itu. Aku tergamam seketika.. "Bersabarlah Zai, setiap insan yang hidup pasti mati pada masa yang telah ditetapkan oleh Allah. Allah lebih sayangnya. Doakanlah rohnya dicucuri rahmat dan diredhai Allah selalu" nasihat cikgu Zubaidah kepadaku . Begitu jua dengan rakan-rakan sekelasku, mereka juga memberi nasihat dan bersimpati denganku. Namun aku masih belum boleh menerima kenyataan itu. Air mata tertumpah jua akhirnya. Ku biarkan saja lelehan airmata itu.
Setibanya aku di rumah, kulihat orang telah ramai. Aku berlari naik ke rumah mendapatkan ibu yang begitu sugul di sisi jenazah ayah. Mulut ibu kumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Lelehan air mataku kembali deras. Kami sekeluarga diselubungi kesedihan yang amat sangat. Adikku yang masih kecil lebih banyak berdiam dan asyik bermanja dengan ibu seakan-akan mengerti apa yang dihadapi oleh keluarganya kini. Selamat sudah jenazah abah di semadikan di liang lahat. Abah pergi menghadap Illahi buat selama-lamanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi orang-orang yang soleh. Dijauhkan panahan azab kubur dan azab api neraka. Begitulah doaku selalu. Walaupun aku amat terkilan kerana tidak dapat membalas jasa abah selama ini, namun doa dari anak yang soleh dan sedekah amal jariah seorang anak dapat meringankan azab ayah di alam barzakh. Aku harus memulihkan semangatku yang goyah yang hampir mematikan segala impianku selama ini. Aku harus jadi insan yang lebih bertanggung jawab menunaikan segala janji dan wasiat abah agar menjaga ibu dan adikku. Pada ibu, abang, kakak adik, guru dan teman-teman berilah dorongan padaku di dalam meneruskan liku-liku hidup ini. Insyallah.

No comments:

Post a Comment

KLICK UNTUK DUIT TABUNG